Monday, November 08, 2010

Ibadah Qurban 1431H

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, Surau Al-Mahabbah akan mengadakan Ibadah Qurban secara berkelumpuk. Pada tahun ini sebanyak empat (4) ekor lembu akan diqurban di surau ini. Lembu akan disembelih pada hari pertama Hari Raya Haji selepas sembahyang sunat Aidiladha.

Oleh kerana kawasan surau tidak berapa sesuai untuk tempat penyembelihan, lembu-lembu akan di sembelih di tempat lembu-lembu itu ditempah. Tiga (ekor) akan disembelih di kampung Belemang dan satu (1) ekor disembelih di kampung Rawang. Daging lembu yang telah dilapah akan dibawa ke surau untuk diuruskan seterusnya.

Adalah diharapkan para ahli kariah surau dapat bersama-sama bergotong-royong memotong-motong daging di surau untuk diagih-agihkan kepada ahli kariah dan masyarakat sekitar.

Friday, September 24, 2010

Sunday, September 12, 2010

Sekitar Majlis Berbuka Puasa.

Gambar-gambar sekitar majlis berbuka puasa
pada 25 Ramadhan 1431H / 4 September, 2010









Surau berwajah baru.

Surau Al-Mahabbah telah mendapat peruntukan dari Menteri Besar Johor. Peruntukan itu telah digunakan untuk membaikpulih longkang di sekeliling kawasan surau dan membina dua anjung serta mengecat pagar surau.


Monday, August 09, 2010

Kelebihan bulan Ramadhan

Ramadhan Bulan yang Barkat.
Firman-firman Allah tentang Ramadhan:
“Wahai orang-orang yang beriman, Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah:183)
“Di dalam bulan Ramadhan itulah diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia dan keterangan- keterangan dari petunjuk itu dan yang membezakan (antara kebenaran dan kesesatan).” (Al-Baqarah 185)
“ Sesungguhnya Kami turunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul-qadr. Tahukah anda apa dia malam Lailatul-qadr. Lailatul-qadr itu lebih utama dari seribu bulan.” (Al-Qadr:1-3)
Hadis-hadis Nabi tentang Ramadhan :
« Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan, dan hari Jumaat ke hari Jumaat, dan satu sembahyang ke sembahyang yang lain menjadi penebus dosa di antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.”
« Bulan Ramadhan itu ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah masuk syurga. »
“ Mulanya Rahmat, tengahnya pengampunan, dan akhirnya merdeka dari api neraka.”
“ Siapa yang menemui bulan Ramadhan sedang ia tiada diampuni Allah Ta’ala, niscaya ia akan dijauhi Allah dari rahmatNya. Katakanlah amin! Maka Rasulullah s.a.w. berkata: Amin!.”
“ Siapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, niscaya diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
Riwayat lain pula mengatakan: Siapa yang mendekatkan kepada Allah Ta’ala dengan suatu sembahyang fardhu dalam bulan Ramadhan, sama di imbangi dengan tujuh puluh sembahyang pada bulan-bulan lain. Siapa yang mendekatkan diri dengan suatu sunnat, sama diimbangi dengan suatu sembahyang fardhu pada lelainnya.
Jelaslah bahwa sembahyang sunnat dalam bulan Ramadhan dikira tingkatnya dengan sembahyang fardhu pada bulan lelain dari segi pahalanya. Sedang sembahyang fardhu pula dilipat-gandakan pahalanya sampai tujuh puluh kali ganda dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dengan amalan ibadah yang lain seperti sedaqah, membaca Al-Quran digandakan pahalanya.

Sunday, July 25, 2010

Malam Nisfu Sya'ban.

Tanggal 15 bulan Sya'ban adalah separuh daripada bulan Sya'ban atau disebuh Nisfu Sya'ban. Pada kebiasaannya masjid dan surau di Johor mengadakan majlis membaca surah Yasin tiga kali diikuti doa memohon panjang umur, tetapkan iman dan murahkan rezki selepas solat maghrib hingga waktu solat Isya'.

Ada beberapa ulama memberi pandangan bahwa amalan ini tidak ada nas yang shahih. Walaupun membaca yasin 3 kali ini tidaklah salah, tetapi oleh kerana masa antara maghrib dan Isya' itu singkat, berkemungkinan membaca 3 kali surah yasin dengan doa tiga kali juga menjadikan bacaan yasin terlalu cepat dan terburu-buru dan mungkin tajwidnya tidak dijaga. Makna dan kefahaman surat yasin tidak pernah dibicarakan, sedangkan yang penting Al-Quran itu difahami maknanya dan dihayati kandungannya. Oleh itu pada pendapat ulama ini, perlu diubah acara malam Nisfu Sya'ban ini sesuai dengan zaman moden ini.

Oleh itu Surau Al-Mahabbah pada tahun ini membuat sedikit perubahan: hanya baca sekali sahaja surah Yasin diikuti dengan doa, dan setelah itu diikuti pula tazkirah mengenai nisfu Sya'ban atau membicarakan secara ringkas kandungan surah Yasin. Tazkiran dipimpin oleh Ustaz Hidir Ismail.

Nisfu Sya'ban tahun ini jatuh pada 26 Julai, 2010, hari Isnin malam Selasa. Semua jemaah dipersilakan.

Surau Dapat Peruntukan Kerajaan Negeri

Alhamdulillah, Surau Al-Mahabbah telah mendapat peruntukan dua projek yang berjumlah RM40,000 dari kerajaan Negeri Johor. Projek ini merupakan hadiah dari Menteri Besar kerana surau ini telah berjaya menyandang gelaran Surau Cemerlang pada tahun 2008/1429H peringkat negeri Johor.

Projek itu ialah : 1) Mengemaskinikan longkang di sekeliling surau dan melebarkan jalan masuk serta menambak sebahagian tapak surau dengan tar. 2) Membina 2 buah anjung / balai di kanan dan kiri hadapan surau dan mengecat menara.

Diharapkan dengan adanya projek ini akan bertambah ceria surau Al-Mahabbah dan dapat menarik lebih ramai jemaah yang mengimarahkan surau ini.

Wednesday, July 14, 2010

Memperingati Malam Isra' dan Mi'raj

Pada malam 27 Rejab 1431H telah diadakan majlis ringkas memperingati Peristiwa Isra' dan Mi'raj yang telah berlaku kepada Junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Ustaz Abdul Mubin bin Abd Rahman dari Sekolah Menengan Arab Loghatul Quran telah menyampaikan ceramahnya. Alhamdulillah, ceramahnya baik dan kehadiran para jemaah pun memberangsangkan. Semoga para jemaah yang hadir telah mendapat pengajaran dan kesedaran dalam meningkatkan ketaqwaan dan keimanan.

Satu perkara yang menarik tentang Masjidil Aqsa ialah usaha orang Yahudi untuk mengelirukan orang Islam dan bukan Islam tentang yang mana satu Masjidil Aqsa. Usaha telah dibuat agar orang menganggap bangunan tempat batu tergantung yang berbumbung kuning itu adalah Masjidil Aqsa. Kerana sekarang ini usaha merobohkan masjid Al-Aqsa sedang dilakukan. Kalau masjid ini runtuh, mereka akan menunjukkan bahawa masjid Al-Aqsa masih baik iaitu bangunan yang berkubah kuning. Ini diharapkan akan meredakan kemarahan orang Islam. Oleh itu diharapkan agar semua orang Islam dapat mengenal dan membezakan antara Masjid Al-Aqsa dengan bangunan berkubah kuning yang berdekatan.