Dalam surah Al-Baqarah ada disebutkan kisah satu pembunuhan yang tidak diketahui pembunuhnya di zaman Nabi Musa a.s. Orang ramai meminta Nabi Musa supaya dapat mencarikan pembunuhnya. Nabi Musa a.s. meminta mereka menyembelih seekor lembu. Tetapi mereka merasa perintah Nabi Musa a.s. sebagai guraun sahaja.
Ada seorang muda yang menjadi pewaris mutlak harta sepupunya kerana tiada orang lain yang layak mewarisi hartanya kecuali dia. Untuk membolehkan pewaris ini mendapat harta dengan segera ialah dengan cara membunuhnya. Oleh itu kerana sifat tamaknya, dia membunuh sepupunya itu tanpa sesiapa mengetahuinya.
Ada sebuah keluarga yang bapanya telah meninggalkan dunia dan mewariskan kepada satu-satu anak lelakinya seekor lembu yang lepaskan dalam hutan. Lembu itu lari jika berjumpa orang. Ibu anak ini memberitahu anaknya yang dia ada seekor lembu di dalam hutan. Ibunya meminta anak ini mencari lembu itu agar dapat dijual. Maka anak muda ini keluar ke dalam hutan mencari lembu itu. Sudah ditakdirkan lembu itu mengenali tuannya dan dibawanya balik ke rumah. Anak memberitahu ibunya yang dia hendak menjual lembu itu. Ibunya berkata: pergilah ke pasar dan juallah dengan harga tiga dinar. Kalau ada yang hendak membeli dengan selain harga itu beritahu ibu.
Apabila sampai di pasar ada orang hendak membeli dan menawarkan harga enam dinar. Anak itu balik menemui ibunya untuk mendapat restunya dengan harga tersebut. Ibunya membenarkan dijual dengan harga itu, dan mengingatkan lagi jika ada tawaran selain harga itu hendaklah mendapat kebenaran ibunya. Apabila sampai di pasar orang yang hendak membeli lembu itu menawarkan harga dua kali ganda lagi, iaitu dua belas dinar. Anak itupun balik memberitahu tawaran itu dan terus mengingatkan jika ada tawaran selain harga itu, hendaklah mendapat kebenarannya. Begitulah berlaku berulang kali. Akhirnya ibunya memberitahu anaknya bahawa orang itu adalah malaikat yang menguji kesetiaan anaknya kepada ibunya. Ibunya menyuruh anaknya bertanya kepada orang itu sama ada lembu itu boleh dijual atau tidak. Orang itu memberitahu agar lembu itu jangan dijual.
Rupa-rupanya lembu inilah yang dicari untuk disembelih sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi Musa a.s. kepada kaum Bani Israil bagi mengetahui siapakah pembunuh pemuda seperti di atas tadi. Jadi, apabila diketahui itulah lembunya, maka orang menawar harga yang lebih tinggi lagi.
Setelah disembelih, diambil kulitnya, dan dipukulkan kulit lembu itu ke atas mayat pemuda yang terbunuh seperti yang diarahkan oleh Nabi Musa a.s. , tiba-tiba mayat itu bangun dan memberitahu siapa pembunuhnya. Setelah itu pemuda itu jatuh dan terus mati.
Demikian kisah pemuda yang taat dengan perintah ibunya.
Sunday, February 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment